Jam Dinding

Google Search

Custom Search

Chat

Create a Meebo Chat Room

kepada anda yang ingin menjadi cantik...

Kehebatan budu Kelantan
Oleh ZAID MOHD. NOOR
Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat
Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat kebanggaan baru – dipeketkan
dan dijadikan produk kecantikan.
BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga
di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.
“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama
ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.
Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu
sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan
dicampur cili api dan bawang.
“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu.
Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang
berkulit putih gebu.
Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di
rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.
Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai
banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.
“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil
tersenyum.
Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu
adalah satu idea perniagaan yang hebat.
Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di
Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat
Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.
BUDU Ketereh yang diusahakan Mat Ismail turut digunakan sebagai agen antipenuaan dalam produk kosmetik.
Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.
Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta
Mercedes Benz.
Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai
harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.
Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh
kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.
Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian
Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.
Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan
dibantu 40 orang pekerja.
SOS budu terhasil selepas enam bulan dibiarkan di dalam tong pemeraman.
Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut
melibatkan diri dalam perniagaan itu.
Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis,
garam dan gula.
Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia
merupakan musim ikan bilis.
“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan
pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di
bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai
sebelum diangkut ke darat.
“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam
selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau
dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya
yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca
berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.
Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah
tong lagi.
Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim
bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding
kolah simen.
Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk
memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.
Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum
dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.
Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari
untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.
Bekalan bilis makin kurang
Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya
agak terhad.
Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan
sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.
“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.
“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama
banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang
menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.
Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga
RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.
IKAN bilis merupakan ramuan utama budu.
ADAKAH rahsia kehalusan kulit wanita Kelantan
kerana mereka mengambil budu setiap hari?
Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang
dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri
Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau
mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas
apabila dipeketkan.
“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar
kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.
“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh
mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza
iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh
mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.
Budu cerahkan kulit dan antipenuaan
RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim,
Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.
Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti
Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan
terkenal.
“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan
malam,” katanya.
HAMIDAH menunjukkan produk kosmetik dengan jenama BK yang turut mengandungi budu.
Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10
penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda
seseorang.
“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang
menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.
“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana
ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan
sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.
“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah
melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.
Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik
jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.
Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim
kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau
Budu Ketereh.
“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik
tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada
pemakainya.
“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.
Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik
sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya. – MEGAT LUTFI
MEGAT RAHIM

1 comments:

This comment has been removed by the author.